Bila seorang wakil rakyat memegang portfolio besar, soalan paling mudah ialah: Adakah mereka sudah melakukannya?
Dalam politik Malaysia, kita dengar perkataan yang sama berulang kali.
Pembangunan, Kesejahteraan rakyat, Transformasi, Agenda negeri, Ekonomi, Pelancongan dan Anak muda…
Sedap didengar namun perkataan tidak membina jalan.
Perkataan tidak membawa masuk pelaburan ATAU tidak mengisi peti ais di rumah rakyat.
Dan perkataan sahaja tidak membuatkan sebuah kerajaan negeri berfungsi.
Sebab itu, bila kita melihat Melaka hari ini, ada beberapa wakil rakyat yang portfolio dan kerja yang direkodkan memang patut kita tengok dengan lebih dekat.
Bukan sebab mereka automatik layak dipanggil “yang terbaik”. Politik bukan sebuah pertandingan ratu cantik.
Tetapi sebab di belakang nama mereka ada “angka, program, projek dan tanggungjawab” yang boleh diperiksa oleh orang awam.
Dan mungkin di situlah kita patut mula bila bercakap tentang YB yang benar-benar mempunyai sesuatu untuk ditunjukkan.
1. AB RAUF YUSOH: PORTFOLIO EKONOMI DAN PELABURAN
Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, ADUN N02 Tanjung Bidara, memegang jawatan Ketua Menteri Melaka dari Mac 2023 sehingga pembubaran DUN pada September 2026.
Portfolio beliau juga meliputi perancangan ekonomi, kewangan, tanah, pelaburan, industri dan TVET.
Itu bukan portfolio kecil.
Secara mudahnya, sebahagian besar hala tuju ekonomi Melaka berada di bawah payung ini.
Dan ada satu angka yang susah untuk diketepikan.
Melaka merekodkan RM14.68 bilion pelaburan diluluskan melibatkan 312 projek pada 2025, berdasarkan angka yang dilaporkan MIDA.
Angka Besar…
Seorang Ketua Menteri tidak boleh mengambil kredit peribadi untuk setiap ringgit pelaburan yang masuk.
Pelaburan melibatkan kerajaan Persekutuan, MIDA, syarikat, penjawat awam, infrastruktur, tenaga kerja, keadaan ekonomi global dan banyak lagi faktor.
Tetapi kepimpinan politik tetap memainkan peranan.
Sebab seseorang perlu menyelaras keseluruhan “mesin”.
Dan portfolio Ab Rauf memang berkait rapat dengan “mesin” itu.
Jadi persoalannya bukan sekadar:
“Berapa banyak pelaburan masuk?”
Soalan seterusnya ialah:
Berapa banyak yang benar-benar menjadi projek?
Berapa banyak pekerjaan?
Berapa banyak peluang untuk syarikat tempatan?
Dan akhirnya, berapa banyak manfaat yang sampai kepada rakyat Melaka?
Itulah ukuran yang lebih menarik… Dan sebenarnya DSU kita sudah melakukannya dengan amat baik :)
2. ABDUL RAZAK ABDUL RAHMAN: BILA WARISAN JADI ASET EKONOMI
Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, ADUN N23 Telok Mas, memegang portfolio pelancongan, warisan, seni dan budaya.
Dan kalau ada satu negeri yang portfolio ini hampir tidak boleh dipisahkan daripada identiti ekonominya, jawapannya memang Melaka.
Pelancongan bukan sekadar letak banner:
“Tahun Melawat Melaka.”
Ia tentang hotel. Restoran. Pemandu beca. Pemandu pelancong. Muzium. Bangunan warisan. Peniaga kecil. Acara.
Dan semakin penting sekarang pengalaman…
Satu angka yang menarik perhatian ialah kutipan caj warisan.
Dari 2012 hingga Julai 2026, Melaka mengutip RM59.6 juta caj warisan daripada pelancong yang menginap di hotel berdaftar. Daripada bahagian yang diterima negeri, RM28.35 juta digunakan untuk pembangunan industri pelancongan.
Pada 2025 pula, kadar caj warisan yang disemak menyumbang kepada peningkatan kutipan kepada RM7.60 juta berbanding RM4.78 juta pada 2024.
Kemudian ada pula kalendar pelancongan 2026.
Kerajaan negeri merancang 220 program pelancongan, termasuk hampir 100 program dan acara utama di bawah Visit Melaka Year 2.0.
Dan fokusnya bukan sekadar pelancong datang, ambil gambar dengan bangunan lama, kemudian balik.
Ia melibatkan budaya, Permainan tradisional, Makanan, Persembahan, Warisan tempatan.
Sebab kalau warisan hanya cantik untuk Instagram tetapi tidak memberi manfaat ekonomi kepada komuniti yang menjaganya, lama-lama ia hanya menjadi pameran.
Cabaran Melaka ialah menjadikan “Sejarah” mampu membiayai pemeliharaan sejarah itu sendiri tanpa memusnahkan sejarah tersebut dalam prosesnya.
Bukan kerja mudah.
3. HAMEED MYTHEEN KUNJU BASHEER: PORTFOLIO “BORING” YANG SEMUA ORANG PERASAN BILA IA PENTING.
Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer memegang portfolio kerja raya, infrastruktur, kemudahan awam dan pengangkutan.
Ini mungkin bukan portfolio paling glamor.
Tiada siapa bangun pagi dengan penuh keterujaan bila dengar projek naik taraf longkang.
Tiada siapa buat Instagram Story:
“Guys! Hari ni longkang kita dah upgrade!”
Tetapi bila jalan banjir, trafik tak bergerak atau jambatan jadi bottleneck, tiba-tiba semua orang jadi pakar infrastruktur.
Dan ketika itu, portfolio ini bukan lagi “boring”.
Satu projek yang boleh dilihat ialah cadangan U-turn bertingkat dan U-turn terus di laluan AMJ, antara persimpangan Pulau Gadong dan Cheng Perdana.
Pada 2024, projek itu dikatakan mampu mengurangkan kesesakan sehingga 50%.
Tetapi di sinilah perkara pentingnya.
Angka 50% itu ialah sasaran atau unjuran.
Jadi rakyat patut tengok apa yang berlaku selepas projek dilaksanakan.
Sebab inilah cara paling mudah untuk menilai kerja seorang wakil rakyat.
Bukan melalui ucapan.
Tetapi:
Sebelum dan selepas.
Trafik sebelum.
Trafik selepas.
Banjir sebelum.
Banjir selepas.
Masa perjalanan sebelum.
Masa perjalanan selepas.
Mudah.
Tak perlu Spin… HEHE
4. FAIRUL NIZAM ROSLAN: YB YANG BERURUSAN DENGAN GENERASI SETERUSNYA
Datuk Fairul Nizam Roslan memegang portfolio sains, teknologi, inovasi dan komunikasi digital.
Ini jenis portfolio yang sangat mudah dipenuhi dengan buzzword.
AI.
Digitalisasi.
Inovasi.
STEM.
Semua orang suka perkataan-perkataan ini.
Tetapi soalan yang lebih susah ialah:
Apa yang berlaku di luar dewan persidangan dan pentas seminar?
Ada beberapa perkembangan yang boleh diukur.
Hari Inovasi Kebangsaan @ Melaka 2026 merekodkan 370 penyertaan, meningkat daripada 200 pada 2025 dan 120 ketika program itu bermula pada 2024.
Program itu juga semakin berkembang dengan penyertaan industri, agensi kerajaan, sekolah, program pendidikan khas dan prasekolah.
Malah, sekolah dari kawasan luar bandar turut muncul sebagai pemenang program inovasi 2026.
Itu menarik.
Sebab transformasi digital tidak sepatutnya bermaksud Kuala Lumpur dapat masa depan, sementara budak kampung dapat satu lagi ceramah motivasi.
Kalau pelajar luar bandar boleh bersaing, mencipta dan berinovasi, di situlah portfolio ini mula mempunyai makna sebenar.
Bukan sekadar slide PowerPoint.
5. MUHAMAD AKMAL SALEH: KETAHANAN MAKANAN BUKAN SEKADAR ISU PERTANIAN
Dr Muhamad Akmal Saleh ialah ADUN N06 Merlimau dan memegang portfolio pembangunan luar bandar, pertanian dan sekuriti makanan.
Portfolio ini semakin penting kerana sekuriti makanan bukan lagi topik yang jauh di langit.
Ia ada kaitan dengan harga beras.
Harga sayur.
Harga ayam.
Kelangsungan petani kecil.
Masa depan penternak.
Dan satu persoalan yang semakin besar:
Adakah anak muda melihat pertanian sebagai satu bisnes atau sekadar kerja yang datuk dan nenek mereka pernah buat?
Program Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri pada 2026 merangkumi bantuan ternakan, input pertanian, peralatan dan penambahbaikan kemudahan.
Dalam satu program baru-baru ini, 54 penternak dari daerah-daerah di Melaka menerima bantuan ternakan dan input pertanian bersubsidi, termasuk lembu, mesin chaffing dan peti sejuk.
Bagus.
Tetapi jangan berhenti di situ.
Sebab bantuan bukan automatik bermaksud berjaya.
Soalan yang lebih menarik ialah:
Adakah pengeluaran meningkat?
Adakah pendapatan penternak meningkat?
Adakah Melaka menjadi kurang bergantung kepada bekalan makanan dari luar?
Di sinilah akauntabiliti politik menjadi menarik.
Kita bukan sekadar tengok berapa banyak bantuan diagihkan.
Kita tengok apa yang berlaku selepas bantuan itu diterima.
6. RAIS YASIN: PORTFOLIO YANG ORANG TAK MAHU DENGAR ALASAN
Datuk Rais Yasin, ADUN N13 Paya Rumput, memegang portfolio yang sangat luas:
Perumahan.
Kerajaan tempatan.
Saliran.
Perubahan iklim.
Pengurusan bencana.
Baca sekali lagi.
Ini bukan portfolio yang orang hanya perasan ketika ada majlis pelancaran.
Orang perasan bila rumah tak mampu dibeli.
Bila longkang tersumbat.
Bila hujan dua jam, jalan terus jadi sungai.
Bila banjir masuk rumah.
Dan bila internet di kawasan tertentu masih macam zaman 3G.
Sebab itu ada beberapa perkara di bawah portfolio Rais yang memang patut diperhatikan.
Antaranya ialah Program Residensi Rakyat (PRR) Paya Rumput bernilai RM80 juta, yang akan menyediakan 280 unit rumah di Taman Paya Emas. Projek ini dijangka memberi peluang kepada penduduk mendapatkan rumah pertama.
Kemudian ada isu banjir.
RTB Alor Gajah Fasa 1, misalnya, dijangka memberi manfaat kepada 1,275 penduduk yang sering berdepan masalah banjir. Projek itu melibatkan kawasan perumahan dan kampung yang terjejas, dengan kemajuan fizikal mencecah 66 peratus pada Ogos 2025.
Di Bemban pula, kerja mendalamkan sungai dan langkah kawalan aliran air telah dilaksanakan sebagai sebahagian daripada usaha menangani kawasan yang kerap dilanda banjir.
Kemudian ada pula isu hakisan.
Di Pantai Puteri, projek bernilai lebih RM20 juta sedang dilaksanakan, termasuk pembinaan tembok penahan ombak dan kerja penambakan sebahagian kawasan pantai bagi mengurangkan kesan air pasang besar dan hakisan.
Dan di Paya Rumput sendiri, sebanyak 34 menara telekomunikasi telah dibina dan beroperasi sejak 2021 dengan peruntukan RM18.3 juta.
Kenapa saya masukkan internet dalam cerita ini?
Sebab bagi orang muda, internet bukan lagi kemewahan.
Internet ialah infrastruktur.
Nak belajar, perlukan internet.
Nak berniaga, perlukan internet.
Nak buat content, perlukan internet.
Nak cari kerja, perlukan internet.
Jadi bila seorang YB boleh tunjuk projek yang menyentuh perkara-perkara asas seperti rumah, banjir, hakisan dan connectivity, itu sekurang-kurangnya memberikan kita sesuatu yang konkrit untuk dinilai.
Tetapi kita tetap akan letakkan satu syarat.
Jangan hanya tengok projek dilancarkan. Tengok hasilnya... Dan jika anda perasan ada yang telah siap...:)
7. RAHMAD MARIMAN: PENDIDIKAN IALAH PERMAINAN JANGKA PANJANG
Datuk Rahmad Mariman, ADUN N18 Ayer Molek, bertanggungjawab terhadap pendidikan, pendidikan tinggi dan hal ehwal agama.
Ini satu lagi portfolio yang hasilnya tidak semestinya boleh nampak esok pagi.
Jalan boleh siap dalam dua tahun.
Jambatan boleh dirasmikan.
Bangunan baru boleh dibuka dengan majlis besar-besaran.
Pendidikan lain ceritanya.
Hasil sebenar mungkin hanya kelihatan 10 tahun kemudian.
Tetapi tetap ada program yang boleh diukur.
Contohnya, Belanjawan Melaka 2025 memperuntukkan RM100 bagi setiap pelajar sebagai bantuan pendaftaran Tadika JAIM, melibatkan 3,600 pelajar dengan implikasi kewangan RM360,000.
Kerajaan negeri juga memperkenalkan aturan cuti bersalin untuk guru wanita yang berkaitan.
Rahmad turut berada dalam lembaga Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka bersama pegawai kerajaan negeri dan institusi berkaitan pendidikan.
Dan itu meletakkan beliau dalam portfolio yang berkaitan dengan salah satu aset paling penting negeri:
anak-anak Melaka.
JADI, ADAKAH INI YB “TERBAIK” DI MALAYSIA?
Kita belum mahu letak trofi atas meja.
Dan sebenarnya, jangan letak pun.
Sebab untuk memanggil seseorang sebagai “YB terbaik di Malaysia”, kita perlukan sistem ukuran yang sama untuk setiap negeri, setiap portfolio dan setiap kawasan.
Macam mana kita nak bandingkan EXCO pelancongan dengan EXCO infrastruktur?
Macam mana nak bandingkan pertanian dengan pendidikan?
Macam mana nak bandingkan seorang pemimpin negeri yang menguruskan berbilion ringgit pelaburan dengan seorang ADUN yang tugas utamanya banyak tertumpu kepada perkhidmatan kawasan?
Epal dan durian.
Dua-dua buah.
Tetapi jangan ukur dengan pembaris yang sama.
Apa yang kita boleh katakan ialah Melaka mempunyai beberapa wakil rakyat yang memegang portfolio dengan program yang didokumentasikan, angka kewangan yang boleh diperiksa, projek infrastruktur, angka pelaburan dan inisiatif dasar yang boleh dinilai oleh orang awam.
Dan mungkin di situlah pengajaran yang lebih besar.
Seorang YB yang benar-benar bekerja tidak sepatutnya memerlukan fan club untuk membuktikan nilainya.
Tunjukkan angka.
Tunjukkan projek.
Tunjukkan dasar.
Tunjukkan hasil.
Kemudian biarkan rakyat menilai.
Sebab akhirnya, soalan sebenar bukan:
“Siapa YB paling popular?”
Soalannya ialah:
“Selepas anda dipilih, apa yang menjadi lebih baik untuk rakyat?”

Comments
Post a Comment