Lanun-Lanun BURSA MALAYSIA (Bahagian 1)

 


Bahagian 1: Sekali Mungkin Silap

“Sekali tersalah langkah, kita panggil kesilapan. Kalau berkali-kali tersadung di batu yang sama… batu itu yang salah, atau orang yang berjalan?”

Itulah soalan yang saya rasa patut ditanya.

Dan kali ini, nama yang berada di tengah-tengah cerita ialah Bursa Malaysia dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Fad’l Mohamed.

Jangan marah. Saya bukan kata sesiapa lanun. Saya cuma tertanya-tanya.

Sebab kalau dalam cerita P. Ramlee, apabila kapal datang dari jauh dengan bendera hitam, kita sudah tahu orang atas kapal itu bukan datang hendak menjual nasi lemak. Tetapi dalam dunia Bursa, semuanya nampak kemas. Ada bangunan. Ada tie. Ada laporan. Ada prospektus. Ada penasihat. Ada undang-undang. Ada cop. Ada kelulusan.

Dan yang paling penting… ada duit.

Jadi rakyat biasa pun duduk diam-diam dan berkata, “Kalau semua sudah diperiksa, tentulah selamat.”

Betulkah?

Kes 1 Doc International Berhad menarik perhatian saya bukan kerana syarikat itu hendak disenaraikan. IPO bukan benda pelik. Setiap tahun ada syarikat datang ke Bursa mencari duit daripada pelabur. Itulah fungsi pasaran modal.

Tetapi masalah bermula apabila terlalu banyak persoalan berada di atas meja, sedangkan loceng untuk IPO tetap berbunyi.

Dokumen awam Securities Commission menunjukkan prospektus 1 Doc telah dikemas kini pada 22 Mei 2026. Dalam prospektus itu sendiri terdapat pendedahan mengenai siasatan oleh Malaysian Medical Council (MMC) terhadap dua individu, Ong Hong Keat dan Chin Boon Keat, berkaitan dakwaan amalan perubatan estetik dan prosedur menggunakan peranti berasaskan laser di premis One Doc. Prospektus tersebut menyatakan inquiry itu ditetapkan pada 26 Jun 2026.

Saya ulang sekali lagi — ini bukan cerita yang saya reka. Ia berada dalam dokumen prospektus.

Jadi soalan saya mudah.

Kalau perkara seperti ini sudah cukup penting sehingga perlu dimasukkan dalam prospektus, bagaimana proses due diligence melihatnya? Adakah ia dilihat? Adakah ia dibincangkan? Adakah risikonya dinilai?

Atau semua orang sudah terlalu sibuk memastikan kapal berlayar sampai terlupa bertanya sama ada kapalnya bocor?

Itulah soalan.

Bukan tuduhan.

Soalan.

Dan kemudian kita sampai pula kepada United Asiapac Energy Berhad.

Di sinilah saya mula teringat satu perkara.

Sekali mungkin kesilapan.

Tetapi kalau kita mula melihat beberapa episod yang menimbulkan persoalan dalam tempoh yang dekat antara satu sama lain, kita berhak bertanya: adakah ini sekadar kebetulan, atau ada masalah yang lebih besar dalam prosesnya?

Saya tidak mengatakan ia satu konspirasi. Saya tidak mempunyai bukti untuk mengatakan ada tangan ghaib.

Tetapi sebagai orang yang melihat pasaran, saya mempunyai hak untuk bertanya. Dan pelabur juga mempunyai hak yang sama.

Sebab Bursa bukan pasar malam.

Kalau membeli kuih keria, silap pilih, buang. Rugi dua ringgit.

Tetapi kalau membeli saham berdasarkan dokumen yang diluluskan dan kemudian timbul persoalan besar, kerugian boleh jadi jauh lebih besar.

Ini satu lagi perkara yang saya tidak suka.

Apabila sesuatu IPO bermasalah, kita selalu diberitahu, “Pelabur kena buat due diligence.”

Betul.

Seratus peratus betul.

Pelabur memang kena berhati-hati.

Tetapi kalau begitu, apa fungsi semua institusi yang berada di sekeliling proses IPO?

Kalau pelabur seorang diri perlu menjadi akauntan, peguam, doktor, penyiasat, penganalisis industri dan Sherlock Holmes, buat apa kita ada semua institusi itu?

Kalau saya pergi kedai makan dan tukang masak berkata, “Encik, nasi saya mungkin ada masalah. Encik sendiri kena periksa sebelum makan,” saya akan jawab, “Kalau begitu, bagi saya periuk. Saya masak sendiri.”

Begitulah mudahnya.

Dato’ Fad’l Mohamed dilantik sebagai CEO Bursa Malaysia berkuat kuasa 1 Mac 2025.

Saya tidak mengenali beliau secara peribadi. Saya juga tidak mengatakan beliau melakukan apa-apa kesalahan.

Tetapi sebagai CEO, beliau berada di kerusi paling panas.

Dan kerusi panas memang tugas seorang CEO.

Kalau semuanya baik, CEO dapat pujian. Kalau ada persoalan, CEO kena jawab.

Begitulah permainan.

Jadi kalau benar terdapat kelemahan dalam proses yang membawa kepada kelulusan sesuatu IPO, siapa yang bertanggungjawab menjelaskan bagaimana ia boleh berlaku?

Bukan dengan kenyataan korporat yang panjang sampai orang mengantuk.

Bukan dengan ayat, “Kami sentiasa komited kepada integriti pasaran.”

Kita semua tahu ayat itu.

Yang rakyat mahu ialah jawapan.

Siapa semak?

Apa yang disemak?

Bila disemak?

Apa yang diketahui?

Bila diketahui?

Dan siapa membuat keputusan?

Itu sahaja.

Sebab apabila wang rakyat berada di atas meja, kita tidak boleh sekadar berharap semuanya baik-baik belaka.

Sekali mungkin silap.

Tetapi kalau kita mula melihat perkara yang sama berulang, maka cerita itu sudah berubah.

Dan apabila cerita berubah…

kita masuk ke bahagian kedua.

Bahagian yang lebih menarik.

Comments